Pasukan Kelantan TRW berjaya mengikat skuad Sabah di Stadium Likas bagi mengutip satu mata berharga di tempat lawan.
The Rhinos menurunkan Damien Lim di bahagian penjaga gol dan Darren Lok mengemudi di jentera serangan manakala Dominic Tan mengetuai skuad tersebut bagi aksi ini.
Sementara itu, Kelantan TRW membariskan Habib Haroon di bahagian tengah dan Ifedayo Omosuyi menggalas lilitan kapten pasukan pantai timur tersebut.
Memasuki minit ke 15′ Darren Lok berjaya melepaskan satu percubaan tepat ke arah penjaga gol Kelantan TRW namun rembatan tersebut berjaya ditepis.
Kelantan TRW dilihat melakukan beberapa percubaan ke arah gawang skuad Sabah namun pertahanan skuad tersebut mampu mengawal tekanan yang diberikan.
Jafri Chew mendapat peluang keemasan untuk memastikan skuad Sabah mendahului perlawanan namun rembatan kencang beliau berjaya ditepis oleh penjaga gol Kelantan TRW, Damyan Damyanov.
Tempo perlawanan tampak agak perlahan bagi kedua-dua pasukan yang dilihat bermain secara berintensiti rendah dan lebih berhati-hati.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Keluar dari bilik persalinan, kedua-dua kelab dilihat semakin meningkatkan intensiti permainan bagi memperoleh gol pendahuluan bagi aksi ini.
Darren Lok mempunyai peluang berharga untuk memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke 62′ namun ketangkasan penjaga gol Kelantan TRW, Damyan Damyanov harus dipuji apabila berjaya menghalang gerakan berbahaya pemain tersebut.
Skuad Kelantan TRW dilihat mencuba beberapa kali ke gawang skuad Sabah namun kesemua percubaan tersebut tidak menepati sasaran.
Memasuki minit ke 80′ kedua-dua pasukan masih buntu mencari jaringan pembukaan bagi mendapatkan 3 mata penuh untuk mengukuhkan lagi kedudukan di liga.
Sabah berjaya menjaringkan gol pada minit ke 86′ menerusi rembatan kencang Azhad Harraz di hadapan gawang skuad Kelantan TRW namun jaringan tersebut dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.
Perlawanan tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan bagi aksi ini.
Kedua-dua kelab bakal meneruskan saingan Liga Super dengan Sabah bakal menentang Melaka di halaman sendiri manakala Kelantan TRW bertemu Penang pada 30 Ogos nanti.