Al-Nassr Terlepas Trofi Saudi Super Cup Di Hong Kong
MakanBola
Al-Nassr FC

Cristiano Ronaldo dan Al-Nassr terlepas peluang bergelar juara Saudi Super Cup di Hong Kong.

Ini selepas kelab gergasi Arab Saudi itu tumbang di tangan juara bertahan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Al-Ahli di peringkat akhir.

Ini kali pertama kejohanan itu diadakan di Hong Kong. Penganjuran Saudi Super Cup di Hong Kong direalisasikan menerusi pemeteraian kerjasama antara Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) dan SUM KM Sport.

Al-Nassr mara ke final selepas menyingkirkan Al-Ittihad. Al-Ahli pula mara selepas menewaskan Al-Qadsiah dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ronaldo meletakkan Al-Alami di hadapan menerusi penalti pada minit ke-41. Itu juga merupakan gol ke-100 beliau bersama Al-Nassr.

Franck Kessie memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat menerusi gol pada minit akhir babak pertama.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol tambahan. Pemain tengah Croatia, Marcelo Brozovic kembali meletakkan Al-Nassr di hadapan pada minit ke-82.

Roger Ibanez memastikan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti menerusi gol pada minit ke-89.

Pada awalnya, kesemua tiga penalti disudahkan oleh kedua-dua pasukan. Pemain Al-Nassr, Abdullah Al-Khaibari bernasib malang apabila penaltinya dinafikan bekas penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy.

Galeno muncul wira Al-Ahli dengan meledakkan gol kemenangan. Ini memastikan Al-Ahli meraih trofi pertama untuk musim 2025/26.

Menariknya, ini juga trofi kedua jurulatih Austria, Matthias Jaissle bersama Al-Ahli. Sebelum ini, beliau turut membantu kelab itu muncul juara ACLE pada Mei lalu.

Meskipun mencipta sejarah dengan melakar 100 gol bersama empat kelab berbeza, Ronaldo terus kempunan menambah trofi kedua bersama Al-Nassr.

Ronaldo dan Al-Alami membuka kempen Saudi Pro League (SPL) dengan menentang Al-Taawoun pada 30 Ogos ini.