Sebuah masjid di Paroi Jaya menawarkan akses tempat letak kenderaan buat penyokong Negeri Sembilan FC dan Selangor FC dengan caj RM3.00.
Akses tempat letak kenderaan itu ditawarkan Masjid Qaryah Paroi Jaya sempena aksi Liga Super antara Sang Rusa dan Merah Kuning.
Setiausaha Masjid Qaryah Paroi Jaya, Muhd Faiz Dato’ Hj Abdul Rahim memaklumkan ada 100 tempat letak kenderaan ditawarkan buat penyokong kedua-dua pasukan.
Ini bertujuan membantu memudahkan urusan penyokong kedua-dua pasukan mencari tempat letak kenderaan pada hari perlawanan.
Pihak masjid turut memaklumkan caj untuk tempat letak kenderaan ialah RM3.00. Ruang tempat kenderaan akan terus dibuka oleh petugas masjid sehingga kenderaan terakhir beredar.
Aksi ini dijangka dibanjiri 20,000 penyokong. Ini berdasarkan statistik jualan tiket terkini Negeri Sembilan setakat 23 Ogos lalu.
Pengurusan Sang Rusa memaklumkan 17,115 keping tiket sudah terjual setakat 5.00 petang, 23 Ogos lalu. Jumlah ini dijangka bertambah apabila kaunter tiket astaka dibuka dari jam 10.00 pagi hingga 9.45 malam hari ini.
Penyokong hanya boleh mendapatkan tiket kategori Terbuka dengan harga RM20.00 (orang dewasa) dan RM10.00 (kanak-kanak dan remaja 7-17 tahun).
Tiket kategori Astaka sudah habis dijual seperti yang didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan, Faliq Firdaus baru-baru ini.