Cabaran ‘Kungfu’ Penjaga Gol Man City Curi Perhatian Peminat
MakanBola
Amazon Prime

Terjahan ‘kungfu’ penjaga gol Man City, James Trafford ke atas pemain Tottenham Hotspur, Mohammed Kudus menjadi bualan peminat.

Ini kerana mereka percaya penjaga gol England itu patut dilayangkan kad merah disebabkan insiden tersebut.

Lutut Trafford dikatakan mengenai dada Kudus pada minit ke-39 semasa beliau melarikan bola ke arah kotak penalti City.

Pada masa sama, bola yang dibawa bekas bintang West Ham United itu turut terkena tangan Trafford semasa menerjah Kudus.

Insiden tersebut mencetuskan kemarahan penyokong kerana insiden tersebut tidak dibangkitkan oleh pegawai VAR, Andy Madley dan penolong pegawai VAR, Sian Massey-Ellis.

Pengguna X, UtdBloke berpandangan terjahan tersebut sepatutnya membawa kepada kad merah. “James Trafford menendang Muhammed Kudus tapi tiada kad merah dilayangkan,” katanya.

Pandangan itu turut dipersetujui seorang lagi pengguna X, PoorEPLreferees. Dua kesalahan yang dibuat Trafford sudah cukup untuk beliau dilayangkan kad merah.

“Ya, ia sepatutnya kad merah untuk James Trafford sebelum menerjah Kudus dengan lutut pada dada dan menepis bola dengan lengan di luar kotak penalti,” katanya.

Pandangan penyokong turut dipersetujui bekas ketua Lembaga Pegawai Perlawanan Profesional (PGMOL), Keith Hackett. Beliau mempersoalkan mengapa VAR membiarkan insiden tersebut.

 “Saya kena tanya, apa yang VAR lakukan? Ini kesalahan bola terkena tangan di luar kotak penalti. Ini juga dianggap menafikan peluang menjaringkan gol yang jelas. (Insiden) ini patut (dilayangkan) kad merah,” katanya seperti dilaporkan Football Insider.

City bernasib baik kerana dapat beraksi dengan 11 pemain. Aksi tersebut menyaksikan tuan rumah kecundang 2-0 di tangan Spurs.