Pemain sayap Kuching City FC, Shamie Iszuan Amin mengakui sedikit kesilapan dan kad merah mengakibatkan pasukan itu terlepas peluang mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT).
Aksi terbaru liga di Stadium Negeri, Kuching itu menyaksikan The Cats bukan saja berjaya mengekang JDT pada separuh masa pertama.
Malah, jentera serangan tuan rumah diketuai Ronald Ngah Wanja kerap mencemaskan benteng pelawat diketuai Jon Irazabal.
Walau bagaimanapun, JDT berjaya meraih tiga mata penuh menerusi gol tunggal penyerang Brazil, Jairo da Silva pada babak kedua.
Shamie percaya faktor kesilapan kecil dan ketiadaan Yuki Tanigawa akibat kad merah menjejaskan peluang Kuching City mencuri mata.
“Kalau kita lebih fokus dan disiplin, kita boleh dapat (keputusan) seri di sini. Mungkin disebabkan sedikit kesilapan dan kurang fokus, kita kena jaringan (pelawat). Main dengan 10 orang pula,” katanya.
Keputusan ini menyaksikan JDT kembali memintas Terengganu FC sebagai pendahulu liga dengan sembilan mata. Kuching City pula kekal di tangga kelima dengan tiga mata.
The Cats berharap dapat bangkit dalam aksi berikutnya menentang Negeri Sembilan FC pada 29 Ogos ini.
Kuching City dijangka berdepan cabaran hebat kerana Sang Rusa segar daripada kejayaan menewaskan Selangor FC pada 24 Ogos lalu.