Anugerah DPSM Bakar Semangat Datuk Saaran Nadarajah Angkat Bola Sepak Malaysia
MakanBola
FA MALAYSIA

Anugerah DPSM membakar semangat Datuk Saaran Nadarajah bagi mengangkat bola sepak Malaysia.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Saaran Nadarajah menyifatkan anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang diterimanya sempena Hari Ulang ke-76 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam sebagai pencetus semangat baginya untuk terus melonjakkan bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Datuk Saaran, beliau kini harus bekerja lebih kuat bersama-sama barisan kepimpinan FAM dalam memastikan arena bola sepak Malaysia berada pada tahap yang membanggakan khususnya buat peminat dan penyokong Harimau Malaya.

“Saya menjunjung kasih ke atas Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam yang telah berkenan mengurniakan anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) kepada saya semalam (25 Ogos 2025).

“Secara peribadi, saya anggap ini satu penghormatan yang besar bukan sahaja kepada diri saya sendiri, tetapi juga kepada keluarga besar FAM dan seluruh komuniti bola sepak tempatan.

“Dengan anugerah yang diterima ini serta sokongan daripada Presiden Kehormat, Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd Amin serta seluruh Jawatankuasa Eksekutif FAM, saya berazam akan berusaha gigih untuk mengangkat reputasi dan martabat bola sepak Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan kepada media.

Datuk Saaran antara penerima anugerah DPSM yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada Isnin, 25 Ogos 2025.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) memenangi salah satu kerusi Naib Presiden FAM bagi penggal 2025-2029 pada Kongres Tahunan FAM ke-61 pada 15 Februari lalu.

Beliau yang juga peguam kini turut memegang tiga portfolio iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Undang-undang FAM, Pengerusi Jawatankuasa Status FAM serta Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM.

Sebelum itu, Datuk Saaran yang juga Presiden Majlis Sukan India Negeri Sembilan (MSINS) dan Kelab Bolasepak NSIA dipilih sebagai Exco FAM bagi penggal 2021-2025.

Di peringkat antarbangsa, Datuk Saaran kini merupakan salah seorang ahli (arbritator) Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland selain menjadi Ahli Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).