Joehari Ayub Letak Jawatan Presiden FAM
MakanBola
FA Malaysia

Datuk Mohd Joehari Ayub sah mengundur diri sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Keputusan itu dinyatakan FAM menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka. Pengumuman ini sekaligus menamatkan desas-desus tentang perubahan kepimpinan badan induk itu.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam mesyuarat berkenaan yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya telah meneliti hasrat Datuk Joehari itu dan akhirnya akur untuk menerima peletakan jawatan Presiden FAM itu bagi menghormati keputusan yang telah dibuat oleh beliau.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM berasa terharu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Joehari atas segala sumbangan, jasa, dedikasi dan komitmen beliau sepanjang bersama FAM sejak beliau dipilih sebagai Naib Presiden pada 2017 dan seterusnya Presiden pada 15 Februari 2025,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi akan menggalas tugas sebagai pemangku Presiden FAM sehingga presiden baharu dilantik.

Artikel 42 Perenggan Tujuh dalam Statut FAM menyatakan jika jawatan presiden kosong, Timbalan Presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga kongres seterusnya iaitu tahun hadapan.

Kongres tersebut kemudiannya memilih presiden baharu FAM untuk baki tempoh penggal jawatan.

Ini bukan kali pertama Presiden FAM mengundur diri sebelum tamat penggal. Sebelum ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut meletak jawatan sebagai presiden pada 2016.

Pada awalnya, peletakan jawatan baginda ditolak oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM. Pada akhirnya, pihak jawatankuasa akur dengan keputusan Al-Sultan Abdullah.