Kevin Deeromram Masih Ada Harapan Wakili Thailand
MakanBola
Selangor FC

Pemain pertahanan Selangor FC, Kevin Deeromram masih berpeluang mewakili Thailand pada masa hadapan.

Semakan di Transfermarkt mendapati bek kiri berusia 27 tahun itu memiliki empat penampilan bersama skuad Gajah Perang di peringkat antarabangsa.

Penampilan terakhir Kevin bersama Thailand ialah aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang China pada November 2023.

Beliau masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua menggantikan pemain tengah Bangkok United, Pokklaw Anan.

Selepas menyertai Selangor untuk musim 2025/26, ramai penyokong ingin tahu sama ada Kevin masih berpeluang menyarung jersi Thailand atau tidak.

Apabila soalan itu diajukan kepada jurulatih Gajah Perang, Masatada Ishii, beliau memaklumkan Kevin akan berada dalam radarnya.

“Saya akan memerhatikan anda (Kevin),” katanya seperti yang dilaporkan SNE Sports. Ishii ditemui selepas mengumumkan senarai 23 pemain untuk menghadapi saingan King’s Cup.

Antara pemain yang dipanggil Ishii untuk kejohanan itu ialah Chanathip Songkrasin, Ben Davis, Supachai Chaided dan Supachok Sarachat.

Kevin bukan satu-satunya pemain Thailand yang mewakili Selangor musim ini. Selain beliau, Selangor turut merekrut bekas kapten Muangthong United, Picha Autra.