Pasukan Asia Selatan, India berpotensi besar dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Akhbar The Times of India melaporkan potensi tersebut timbul selepas FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menghantar surat secara bersama kepada Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).
FIFA dan AFC menyuarakan kebimbangan berhubung kegagalan AIFF memuktamadkan dan melaksanakan perlembagaan yang telah disemak untuk badan induk tersebut.
Isu perlembagaan AIFF telah dibawa ke mahkamah agung India sejak 2017. Meskipun begitu, belum ada keputusan mahkamah berhubung perkara berkenaan.
Justeru, FIFA dan AFC memberi tempoh kepada AIFF menyelesaikan isu perlembagaan badan induk itu sehingga 30 Oktober ini.
Sekiranya AIFF masih gagal mencari jalan penyelesaian tuntas, badan induk itu berdepan potensi digantung buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.
Sekiranya perkara itu berlaku, ini boleh menyebabkan skuad India berdepan kesukaran beraksi di peringkat antarabangsa. Ini termasuk pusingan kelayakan Piala Asia 2027.
India ketika ini berada dalam Kumpulan C bersama negara jiran, Bangladesh, Hong Kong dan Singapura. The Lions berkongsi kedudukan teratas kumpulan dengan empat mata bersama Hong Kong.