Nama pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kembali menjadi sebutan di Asia.
Ini kerana gambar pemain sayap kebangsaan itu diletakkan sebaris dengan sembilan bintang terbaik yang beraksi di Asia dalam Seminar Bola Sepak Profesional AFC 2025.
Pemain sayap berusia 23 tahun itu diletakkan sebaris dengan bintang seperti Cristiano Ronaldo, Riyad Mahrez, Jasir Asani, Ivan Toney dan Akram Afif.
Perkara ini dikongsikan Johor Southern Tigers menerusi satu hantaran di platform rasmi mereka. Nama Arif menjadi pilihan selepas menunjukkan prestasi cemerlang di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Kejohanan itu menyaksikan pemain sayap Harimau Malaya itu bukan saja membantu JDT mara ke pusingan 16 pasukan terbaik ACLE.
Malah, Arif turut merekodkan lima gol dan dua bantuan gol sepanjang kejohanan untuk musim 2024/25.
Musim 2025/26 menyaksikan beliau mula menemui prestasi terbaiknya. Arif sudah merekodkan dua gol dan dua bantuan gol dalam Liga Super setakat ini.