Penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes mengakui Liga Malaysia (Liga M) lebih sukar daripada saingan liga Thailand.
Hal ini dinyatakan beliau kepada media selepas aksi Liga Super antara Selangor dan Terengganu FC di Stadium MBPJ.
Moraes menyifatkan Liga M lebih kuat dan hampir sama seperti Brazil. Meskipun berdepan cabaran sukar Liga M, itu tidak mematahkan semangat beliau untuk memburu kemenangan buat Selangor.
“Saya fikir (aksi) di sini (Liga Malaysia) lebih sukar (daripada liga Thailand), pemain-pemain di sini sangat kuat.
“Sama seperti di Brazil. Brazil satu tempat sukar untuk bermain kerana pemain-pemain di sana amat kuat. Tapi kita perlu menang setiap perlawanan dan kita perlu cuba (lakukannya),” katanya.
Nama Moraes menjadi pujaan penyokong Merah Kuning apabila meledakkan hatrik ketika menentang Terengganu. Alvin Fortes dan Aliff Izwan Yuslan turut mencetak nama sebagai penjaring.
Peteh meraih gol saguhati menerusi penalti Gabriel Silva dan Junior Sam. Kemenangan 5-2 ini membawa Selangor ke tangga keempat liga dengan enam mata.
Merah Kuning kini mengalihkan fokus untuk aksi kedua pusingan 16 Piala FA pada 13 September. Selangor memiliki kelebihan agregat 3-1 menerusi kemenangan pada 16 Ogos lalu.