Skuad Harimau Selatan berjaya menundukkan pasukan Imigresen dengan keputusan 0-3 bagi aksi minggu ke 4 saingan Liga Super musim 2025-2026 pada Khamis.
Skuad tuan rumah, Imigresen menurunkan Zarif Irfan di benteng gawang dan Fadzrul Danel mengemudi di jentera serangan manakala Rizal Ghazali sebagai kapten pasukan.
Selepas itu, Harimau Selatan membariskan Syihan Hazmi di bahagian penjaga gol dan Arif Aiman sebagai ayam tambatan skuad tersebut manakala Joao Figueiredo mengetuai bahagian hadapan.
JDT dilihat menguasai penuh 15 minit pertama perlawanan namun gagal mencari jaringan pembukaan kerana skuad Imigresen sangat disiplin dalam aspek pertahanan.
Skuad Harimau Selatan terus mengasak kubu pasukan Imigresen bagi membuka akaun jaringan perlawanan ini untuk membawa pulang 3 mata ke Johor.
Memasuki minit ke 30′ kedudukan masih terikat tanpa jaringan walaupun pasukan pelawat, JDT melancarkan beberapa serangan berbahaya ke gawang Imigresen.
Jon Irazabal berjaya membuka akaun jaringan skuad JDT pada minit ke 43′ bagi memastikan pasukan tersebut mendahului dengan satu gol di hadapan.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, JDT.
Bersambung babak kedua perlawanan, JDT terus melancarkan beberapa percubaan ke gawang skuad Imigresen bagi memastikan membawa pulang 3 mata penuh.
Jairo Da Silva berjaya menambah derita skuad Imigresen pada minit ke 58′ bagi menjarakkan kedudukan dengan 2 gol di hadapan skuad tuan rumah, Imigresen.
Memasuki minit ke 63′ Imigresen melakukan dua pertukaran dengan mengeluarkan Fadzrul Danel dan Eduardo Sosa.
Selepas itu, skuad Imigresen memasukkan Halim Saari dan Joao Pedro bagi menambah bisa serangan skuad tersebut sekaligus mencari gol pertama Imigresen bagi aksi ini.
Memasuki minit ke 77′ Joao Figueiredo menjaringkan gol ke 3 skuad Harimau Selatan bagi aksi ini hasil rembatan mudah di hadapan gawang Imigresen.
Skuad Imigresen tampak gagal untuk mencipta peluang berbahaya ke gawang JDT kerana skuad tersebut menguasai penuh perlawanan separuh masa kedua.
Perlawanan tamat dengan keputusan 0-3 memihak kepada pasukan pelawat, JDT hasil jaringan oleh Jon Irazabal, Jairo Da Silva dan Joao Figueiredo.