Kelana United berdepan tugas sukar untuk memburu kelayakan ke saingan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) apabila tewas kepada wakil Singapura, Lion City Sailors (LCS).
Selepas terikat tanpa jaringan dengan kelab Kyrgyzstan, Sdyushor SI-Asiagoal, Kelana United perlu menang dengan LCS untuk mencerahkan peluang bergelar juara Kumpulan C.
Kelana United menurunkan barisan terkuat termasuk beberapa tonggak import Indonesia seperti Viny Silfianus Sunaryo dan Vivi Oktavia Riski. Pemain Malaysia, Putri Alyiah Seow pula berada di bangku simpanan LCS.
Separuh masa pertama menyaksikan Kelana United berusaha memberi tekanan ke atas penjaga gol The Sailors, Nur Izairida Shakira.
Kelana United bernasib malang apabila ketinggalan pada minit ke-11. Tonggak import Jepun, Miyu Inayama pantas menolak bola melepasi penjaga gol Kelana United, Nurdiana Syafiqah Rostam.
10 minit selepas itu, Sheva Imut Furyzcha hampir memerangkap Nur Izairida dengan satu lambungan bola ke arah gawang LCS. Malangnya, percubaan beliau tersasar.
Kelana United terus mengasak tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Kelana United terus berusaha memburu gol penyamaan tetapi tidak berhasil.
Sebaliknya, LCS pula menggandakan kelebihan mereka menerusi pemain gantian, Nur Ain Salleh pada minit ke-62.
Kelana United makin derita apabila seorang lagi pemain LCS dari Jepun, Ami Takeuchi pula mencetak nama sebagai penjaring enam minit selepas itu.
Kelana United meraih gol saguhati menerusi Viny Sulfianus tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan LCS makin selesa mengetuai Kumpulan C dengan enam mata.
Kelana United pula kekal di tangga ketiga dengan satu mata. Justeru, wakil Malaysia itu perlu wajib menang bila bertemu wakil Jordan, Etihad Club pada 31 Ogos.
Ini kerana hanya kemenangan saja yang dapat mengukuhkan peluang Kelana United sebagai naib juara kumpulan. Selain itu, juara Liga Wanita Nasional (LWN) itu perlu mengharapkan keputusan kumpulan-kumpulan lain memihak kepada mereka.