Peter Cklamovski Ada Sebab ‘Simpan’ Nacho Mendez
MakanBola
MNT/JST

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski tampil memberi penjelasan tentang sebab beliau tidak memanggil pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nacho Mendez.

Selepas senarai 29 pemain diumumkan pengurusan skuad kebangsaan, ramai peminat Malaysia tertanya-tanya mengapa bekas kapten Sporting Gijon itu tidak dipanggil.

Apabila soalan itu diajukan kepada Cklamovski, beliau memaklumkan keputusan itu dibuat dengan mengambil kira faktor kecergasan fizikal beliau.

“Nacho Mendez lebih kepada situasi fizikal dan perubatan yang sedang kami hadapi sekarang,”

“Saya rasa beliau antara yang paling banyak beraksi dalam liga, atau lebih kurang begitu.

“Persembahannya sangat cemerlang. Dalam masa sama, saya tahu dia teruja berada di Malaysia dan bermain untuk pasukan kebangsaan sambil menyatakan rasa bangga terhadap asal usulnya juga,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bekas jurulatih FC Tokyo itu turut mendedahkan beliau turut berhubung dengan Mendez tentang prospeknya menyertai kem Harimau Malaya.

“Saya sudah beberapa kali bercakap dengannya dan beliau memang bersemangat untuk berada di sini.

“Cuma buat masa ini, jendela kali ini bukan untuk kami. Saya menantikan peluang bekerja dengannya dan menjangkakan beliau akan bersedia pada Oktober nanti,” ujarnya.

Mendez bukan satu-satunya pemain yang tidak dipanggil Cklamovski untuk kem kali ini. Beliau turut memutuskan untuk tidak memanggil pemain Velez Sarsfield, Imanol Machuca.

Kem Harimau Malaya kali ini menyaksikan penyertaan kali pertama pemain Raith Rovers, Richard Chin.

Harimau Malaya dijadual bertemu Singapura pada 4 September di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). Ini disusuli aksi menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 September.