Tujuh pemain yang berpangkalan di luar negara dipanggil memperkuat cabaran Harimau Malaya untuk dua aksi persahabatan pada September.
Tujuh pemain tersebut ialah Dion Cools, Facundo Garces, Gabriel Palmero, Richard Chin, Endrick dos Santos, Sergio Aguero dan Rodrigo Holgado.
Ini selepas senarai 29 pemain diumumkan pengurusan skuad kebangsaan baru-baru ini. Satu nama yang dilihat menonjol ialah Richard.
Meskipun kerap membuat penampilan bersama Raith Rovers sebagai pemain gantian, persembahan beliau telah menambat hati pengendali skuad negara, Peter Cklamovski.
Graduan akademi kelab Charlton Athletic itu berpeluang merekodkan penampilan pertama bersama Harimau Malaya dalam salah satu daripada dua aksi berkenaan.
Selain Richard, Aguero kembali dipanggil ke kem Harimau Malaya buat kali pertama sejak kempen ASEAN Championship 2024.
Bekas pemain Sri Pahang FC itu kelihatan semakin menyerlah sejak menyertai kelab pendatang baru Thai League 1, Kanchanaburi Power FC.
Malaysia dijadual bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 4 September. Ini disusuli aksi menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 September.
Kedua-dua perlawanan ini merupakan sebahagian daripada persiapan Harimau Malaya menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober ini.