Singapura Bertemu Malaysia Tanpa 6 Tonggak Utama
MakanBola
FA Singapore

Singapura bakal menghadapi cabaran Harimau Malaya pada 4 September ini tanpa enam tonggak utama.

Enam tonggak tersebut ialah Hariss Harun, Irfan Fandi, Ikhsan Fandi, Ilhan Fandi, Kyoga Nakamura dan Ryhan Stewart.

Ini susulan keputusan pemangku jurulatih Singapura, Gavin Lee untuk memanggil 25 pemain tempatan untuk dua aksi The Lions.

Lima daripadanya berpangkalan di luar negara. Irfan, Ikhsan, Ilhan, Nakamura dan Ryhan masing-masing beraksi untuk Port, Ratchaburi, Buriram United, Bangkok United dan Kanchanaburi Power.

Hariss pula masih menjalani proses pemulihan kecederaan selepas mengalaminya dalam saingan Singapore Community Shield.

Kecederaan itu menyebabkan bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bukan saja terlepas aksi awal Singapore Premier League (SPL).

Malah, Hariss terlepas peluang menentang pasukan lamanya dalam saingan Shopee Cup pada 21 Ogos lalu.

Skuad The Lions sudah mula menjalani latihan sejak beberapa hari lalu. Skuad akhir ke Kuala Lumpur bakal diumumkan pada 31 Ogos ini.

Singapura berharap dapat merekodkan kemenangan ke atas Harimau Malaya buat kali pertama sejak 2022.