Hafizh Syahrin Teruskan Kecemerlangan Di Mandalika
UltraSukan
JDT Racing Team

Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) apabila muncul juara perlumbaan pertama ASB1000.

Selepas mengakhiri kemarau kemenangan di Motegi, Jepun, beliau berharap dapat meneruskan kecemerlangan dalam pusingan keempat ARRC di Mandalika, Indonesia.

Sebelum ini, Hafizh menzahirkan keyakinan dapat meraih keputusan baik di litar tersebut. Keyakinan beliau timbul disebabkan prestasi baik jenteranya semasa sesi latihan bebas.

Prestasi itu diteruskan dalam sesi kelayakan. Hafizh tidak berdepan masalah meraih petak pertama dengan catatan masa 1 minit (m) 35.271 saat (s).

Beliau mengatasi pendahulu keseluruhan kategori ASB1000, Keito Abe di tempat kedua dengan catatan masa 1 m 35.398 s. Lachlan Epis meraih posisi ketiga dengan catatan masa 1 m 35.445 s.

Sebaik perlumbaan bermula, Hafizh tidak berdepan masalah menerajui perlumbaan. Abe yang mewakili SDG Harc-Pro. Honda Philippines pula bernasib malang apabila jatuh hingga ke kedudukan ke-10.

Hafizh tenang memimpin perlumbaan meskipun cuba dicabar pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat. Abe yang cuba mengejar sekali lagi ditimpa malang apabila berlanggar dengan Epis.

Dominasi Hafizh berterusan sehingga ke garisan penamat. Nakarin terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan Zaqhwan Zaidi di tempat ketiga.

Keputusan ini bukan saja cukup buat bekas jaguh MotoGP itu memintas Abe sebagai pendahulu keseluruhan kategori ASB1000. Malah, ia dilihat hadiah terbaik Hafizh sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Hafizh berpeluang menambah kelebihan mata menerusi perlumbaan kedua ASB1000 yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini.