Pearly Tan-M. Thinaah Raih Gelaran Naib Juara Dunia, Tewas Kepada Jaguh China
MakanBola
MSN Malaysia

Pasangan beregu wanita Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah tampil memukau dengan muncul naib juara BWF World Championships meskipun tewas kepada wakil China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Kehadiran Pearly Tan-M. Thinaah di pentas akhir BWF World Championships pastinya bagi melakar sejarah baharu dalam misi bergelar beregu wanita pertama Malaysia bergelar juara dunia.

Impian besar pasangan negara tersebut bagaimanapun tidak kesampaian setelah terpaksa akur dengan kekuatan beregu wanita nombor satu dunia iaitu Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China.

Pertarungan cukup hebat yang memakan masa 83 minit itu menyaksikan Pearly-Thinaah tumpas di tangan Sheng Shu-Tan Ning dengan skor 14-21, 22-20, 17-21 dan bergelar naib juara.

Walaupun cuma memberikan tentangan sengit di awal aksi, namun Sheng Shu-Tan Ning tampak lebih unggul mengutip mata hasil serangan yang tidak berjaya dibalas oleh Pearly-Thinaah.

Aksi du set kedua turut berlangsung sengit dengan Pearly-Thinaah berjaya mengejar dan mendahului 16-14 sebelum menang 22-20 sekaligus berjaya mengheret permainan ke set ketiga.

Hasrat Pearly-Thinaah untuk bergelar pemenang terkubur setelah kalah di set penentuan 21-17 di tangan Sheng Shu-Tan Ning dan membawa pulang gelaran naib juara kejohanan dunia 2025.