Jeneral tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Hevel terlepas peluang menambah penampilan bersama Harimau Malaya.
Wartawan Astro Arena, Fina Nasrom melaporkan bekas pemain tengah Portimonense itu terpaksa disisihkan akibat masalah kecederaan.
Susulan itu, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski dijangka memanggil seorang lagi pemain JDT, Hong Wan sebagai pengganti.
“Pemain tengah negara Hector Hevel terkeluar dari perancangan Peter Clamovski ekoran kecederaan. Kekosongan itu digantikan dengan Hong Wan yang berada dalam senarai menunggu,” katanya di X.
Situasi ini juga dijangka meresahkan pengendali JDT, Xisco Munoz. Ini kerana Hevel dilihat antara nadi utama pasukan itu di bahagian tengah.
Selepas menyertai kelab pada awal musim ini, beliau sudah merekodkan lima penampilan dan satu bantuan gol.
Sejak dipanggil menyertai Harimau Malaya pada Mac lalu, Hevel merekodkan dua penampilan di peringkat antarabangsa.
Malaysia dijadual bertemu Singapura pada 4 September ini. Ini disusuli aksi menentang Palestin pada 8 September.