“Setiap Kali Malaysia Panggil, Saya Akan Sedia” – Sergio Aguero
MakanBola
FA Malaysia

Pemain tengah Kanchanaburi Power, Sergio Aguero sentiasa bersedia sekiranya khidmatnya diperlukan Malaysia.

Perkara itu dinyatakan bekas pemain Sri Pahang FC itu bila diminta mengulas panggilan menyertai skuad senior Malaysia.

Aguero menjadi sebahagian daripada 29 pemain yang dipanggil Peter Cklamovksi untuk mengharungi dua aksi antarabangsa pada September.

Ini kali pertama bekas pemain Tok Gajah itu dipanggil sejak kempen ASEAN Championship 2024 pada penghujung tahun lalu.

Aguero mengakui ini satu penghormatan untuk menyertai skuad kebangsaan. Pada masa sama, beliau juga sedar tentang cabaran merebut slot kesebelasan utama kerana ramai pemain berkualiti berada dalam kem sama.

Perkara itu langsung tidak mematahkan semangat Aguero untuk membantu Harimau Malaya.

“Sudah tentu ia satu detik membanggakan. Sekarang lagi sukar nak dapat panggilan kerana terdapat ramai pemain berkualiti (dalam kem).

“Sudah tentu apabila saya mendapat panggilan menyertai kem skuad kebangsaan, saya akan sedia lakukannya,” katanya kepada SNE Sports.

Aguero berpeluang menambah 17 penampilan dan tiga gol bersama Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.