3 orang tonggak Harimau Malaya yang beraksi di luar negara tidak menunggu masa lama untuk sertai sesi latihan pasukan Malaysia pada Isnin.
Skuad Harimau Malaya berkumpul buat kali pertama di Bukit Jalil bagi memulakan sesi latihan menjelang dua perlawanan persahabatan yang akan berlangsung pada bulan September ini.
Sesi latihan kali ini disertai seramai 27 pemain yang dipanggil oleh Peter Cklamovski tanpa kehadiran Gabriel Palmero serta Rodrigo Holgado yang masih dalam penerbangan kembali ke Malaysia.
Antara yang mencuri perhatian ketika latihan ini sudah pasti kelibat tonggak warisan yang baharu kali pertama dipanggil iaitu Richard Chin yang bermain di Scotland bersama Raith Rovers.
Selain Richard Chin, dua lagi pertahanan iaitu Dion Cools dan Facundo Garces juga mendapat tumpuan apabila difahamkan ketiga-tiga pemain ini baru sahaja sampai di ibu negara jam 5 petang Isnin.
3 jam kemudian, mereka bertiga terus bersiap sedia untuk menyertai sesi latihan pertama pasukan tanpa memikirkan kepenatan mengharungi perjalanan yang memakan masa yang lama.
Sesi latihan ini akan diteruskan sehingga hari perlawanan berdepan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis, 4 September sebagai aksi persahabatan pertama skuad negara.
4 hari kemudian, skuad kebangsaan bakal turun menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi pemanas badan kedua di bulan September ini.