Kelayakan Piala Asia B-23: Rekod Baik Jadi Sandaran Malaysia Hadapi Lubnan
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia berharap dapat melebarkan rekod baik ke atas Lubnan dalam pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2026 di Thailand.

Ini kerana menurut Harimau MYstats, anak buah Nafuzi Zain memiliki rekod baik ke atas pasukan Asia Barat itu.

Malaysia dan Lubnan pernah berentap dalam pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik 2012 pada 2011. Pada ketika itu, skuad B-23 negara dibimbing pengendali Persik Kediri, Datuk Ong Kim Swee.

Selepas berjaya mengikat Lubnan tanpa jaringan dalam aksi pertama, Malaysia mengejutkan pasukan itu dengan kemenangan 2-1.

Pemain tengah PDRM FC, Irfan Fazail dan pemain sayap Penang FC, Wan Zack Haikal Wan Noor merobek gawang Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Lubnan cuba bangkit dengan merapatkan jurang menerusi Chadi Atie. Walau bagaimanapun, itu sudah terlambat menghalang skuad negara meraikan kemenangan pada akhir perlawanan.

Kini, kedua-dua pasukan bakal berentap buat kali ketiga untuk aksi pertama Kumpulan F di Thailand. Malaysia dan Lubnan akan berentap di Stadium Thammasat pada 3 September.

Satu lagi aksi menemukan tuan rumah pusingan kelayakan Kumpulan F, Thailand dan Mongolia.