Lawan Manchester United dalam Piala EFL, Grimsby Town dikenakan denda £20,000 (RM113,000) oleh Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).
Ini selepas kelab itu melaporkan bahawa mereka telah menurunkan pemain yang tidak layak diturunkan ketika aksi pusingan kedua kejohanan itu baru-baru ini.
Grimsby dikesan lewat mendaftarkan penyerang, Clarke Oduor seminit lewat selepas tarikh akhir pendaftaran pasukan. Pada awalnya, isu tersebut tidak dikesan susulan masalah komputer yang melanda pasukan itu.
Walau bagaimanapun, sebaik isu kelewatan pendaftaran Oduor diketahui, pasukan yang dibimbing David Artell itu membuat laporan kepada EFL berhubung perkara itu.
Susulan itu, EFL mengenakan denda sebanyak £20,000 (RM113,000) kepada Grimsby. Grimsby membayar denda sebanyak £10,000 (RM56,000) dengan baki denda digantung sehingga akhir musim ini.
Kelab yang diberi jolokan The Mariners itu memaklumkan mereka menerima ketetapan EFL berhubung perkara itu. Pengurusan kelab juga memberi jaminan perkara tersebut tidak akan berulang.
“Kami menerima denda yang dikenakan dan memahami kepentingan mematuhi peraturan dan undang-undang pertandingan. Kesilapan ini bersifat tidak sengaja dan kelab bertindak telus dengan melaporkan sendiri kesalahan itu sebaik saja ia diketahui.
“Sejak insiden tersebut, kita telah menjalankan semakan teliti untuk semua proses kita dan melaksanakan pelbagai langkah pengukuhan untuk memastikan ia tidak berulang lagi,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada United berhubung hal ini. The Red Devils diberi tempoh sehingga lima hari untuk memutuskan sama ada mereka ingin membuat rayuan atau tidak.
Grimsby menjadi pasukan divisyen keempat pertama yang menewaskan United dalam saingan Piala EFL. Mereka mara menerusi sepakan penalti dengan keputusan 12-11.