Bekas penyerang Perak FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak kembali bersama kelab lamanya, PDRM FC.
Sebelum ini, khidmat penyerang berusia 25 tahun itu tidak dikekalkan pengurusan The Cops pada akhir musim 2024/25.
Walau bagaimanapun, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi memaklumkan khidmat Hadi kembali diperlukan PDRM untuk musim 2025/26.
“Hadi Fayyadh kembali perkuat PDRM FC bagi harungi saingan Liga M 2025/2026,” katanya di X.
Sepanjang bersama PDRM, beliau membantu pasukan itu muncul juara MFL Challenge Cup 2023 dan naib juara edisi 2024.
Kehadiran Hadi dijangka menambah pilihan buat jurulatih, Eddy Gapil di bahagian serangan. Ini kerana PDRM hanya memiliki tiga penyerang ketika ini.
Henri Doumbia, Elisha Kashim dan Syafiq Azmi menjadi sandaran gol PDRM dalam beberapa aksi awal Liga Malaysia (Liga M).
Doumbia sudah menunjukkan bisanya dengan menjaringkan dua gol buat The Cops dalam empat perlawanan setakat ini.