Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui teruja dengan cabaran yang bakal dihadirkan Singapura terhadap pasukan itu.
Meskipun The Lions dibimbing pemangku jurulatih, Gavin Lee, bekas jurulatih FC Tokyo itu enggan memandang enteng cabaran negara jiran itu.
Ini kerana Singapura bukan saja memiliki ramai pemain yang bagus. Malah, mereka memiliki corak permainan tersendiri yang diterapkan sejak lebih dua tahun lalu.
Justeru, Cklamovski melihat Malaysia harus mempamerkan aksi terbaik jika ingin meraih kemenangan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Mereka satu pasukan yang bagus. Kita hormati mereka kerana mereka ada pemain-pemain yang bagus. Saya teruja dengan cabaran yang akan ditunjukkan dalam permainan mereka.
“Mereka bermain dengan cara tertentu dalam tempoh satu hingga dua tahun sekarang. Saya jangkakan ia akan diteruskan. Saya juga tak sabar bermain bola sepak kita, mengekploitasi ruang di mana kita boleh mendominasi mereka dan menjaringkan beberapa gol.
“Satu cabaran bola sepak yang bagus dan itu yang kita boleh ambil sebagai satu pasukan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
Malaysia berharap dapat mengulangi kejayaan menewaskan Singapura ketika aksi peringkat kumpulan ASEAN Championship 2022. Kedua-dua pasukan akan berentap pada 4 September ini.