Rodrigo Holgado Tiba Di Malaysia
MakanBola
Malaysia NT

Penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado akhirnya tiba di Malaysia selepas mengharungi perjalanan jauh dari Colombia.

Sebelum ini, penyerang America de Cali itu akan lewat menyertai kem Harimau Malaya. Ini disebabkan beliau perlu menempuh perjalanan jauh dari Colombia ke Malaysia.

Kini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan Holgado tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

“Rodrigo Holgado tiba di Malaysia pagi tadi sekaligus lengkapkan skuad 29 pemain untuk aksi persahabatan bertemu Singapura dan Palestin,” katanya di X.

Kehadiran penyerang berusia 30 tahun itu melengkapkan barisan penyerang Malaysia yang dipanggil Peter Cklamovski untuk kem kali ini.

Selain Holgado, Cklamovski turut memanggil Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Joao Figueiredo, Paulo Josue, Romel Morales dan Safawi Rasid.

Susulan perjalanan jauh yang perlu ditempuh bekas penyerang Gimnasia La Plata itu, wartawan Astro Arena, Fina Nasrom menjangkakan Holgado tidak diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Singapura.

Beliau menjangkakan bisa penyerang kelahiran La Tablada itu berpotensi dimanfaatkan Cklamovski dalam separuh masa kedua aksi tersebut.

Holgado sudah meraih satu penampilan dan satu gol bersama Harimau Malaya. Kesemua itu diraih dalam kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada Jun lalu.