Ketua pasukan Malaysia B-23, Ubaidullah Samsul mengakui rasa kecewa tatkala masih dibelenggu masalah sama ketika kalah kepada Lubnan dalam aksi pertama Kelayaka Piala Asia B-23.
Pada Rabu, skuad muda Malaysia ini turun dengan misi untuk melakar kemenangan dalam perlawanan pertama kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 bertemu Lubnan yang dilihat salah satu pasukan pilihan.
Hasrat itu bagaimanapun tidak kesampaian apabila pasukan B-23 negara ini tewas 0-1 hasil jaringan tunggal Ali El Fadl di minit ke-83 meskipun Malaysia memegang penguasaan bola pada aksi ini.
Menurut Ubaidullah, permainan rakan sepasukan beliau agak baik pada permulaan aksi, namun dalam bola sepak pasukan yang berjaya menyumbat gol bakal pulang selaku pemenang.
”(Saya) kecewa sebab permainan kami agak baik di babak pertama tetapi macam biasa siapa yang menjaringkan gol, merekalah yang akan menang,” ujar Ubaidullah selaku ketua pasukan.
Masalah sama masih menyelubungi pasukan Malaysia B-23 ini dan Ubaidullah melihat perkara ini sebagai punca utama keputusan petang tadi meskipun sudah berusaha pelbagai cara.
”Jadi, masalah kita masih sama sejak Piala Mandiri ASEAN B-23 lalu, (iaitu) tak jaringkan gol dan tak tahu nak buat macam mana,” jelas bek Terengganu itu lagi selepas aksi berakhir.
”Kalau tengok perlawanan tadi pun, pada minit akhir memang macam-macam cara nak buat untuk dapatkan gol tapi itulah cara dia nak menang (iaitu) kena jaringkan gol.”
Kekalahan ini membuatkan peluang Malaysia untuk layak ke Piala Asia B-23 sedikit bahaya dengan dua baki aksi selepas ini skuad muda negara wajib mencatatkan kemenangan.
Perlawanan kedua kumpulan F dijadualkan pada Sabtu, 6 September dengan Malaysia akan turun bertemu Mongolia manakala Lubnan bakal berdepan tuan rumah, Thailand.