Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Hong Wan mengakui dapat kembali beraksi selepas berehat hampir semusim akibat jangkitan aneh di bahagian kaki.
Jangkitan tersebut menyebabkan pemain tengah berusia 25 tahun terpaksa menjalani proses pemulihan yang menjerihkan.
Selain perlu melalui dua pembedahan, kaki Hong Wan juga turut diletakkan dalam keadaan vakum selama dua bulan.
Bekas graduan akademi Wolverhampton Wanderers itu juga perlu mengambil antibiotik selama beberapa bulan termasuk menerusi saluran IV bagi membantu proses pemulihannya.
“Hampir setahun lalu, saya didiagnosis dengan jangkitan kuman yang jarang di bahagian kaki yang menyebabkan saya berehat selama hampir setahun.
“Tahun lepas merupakan tahun paling sukar dalam hidup saya dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ramai orang kerana dapat bermain semula,” katanya di Instagram.
Selain sokongan keluarga, rakan-rakan sepasukan, staf kejurulatihan dan pasukan perubatan, Hong Wan turut menyatakan penghargaan kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Pemilik nama Nathaniel Shio Hong Wan itu amat menghargai sokongan yang diberi baginda sepanjang menjalani proses pemulihan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana memberi penjagaan kesihatan dan sokongan terbaik kepada saya sepanjang tempoh sukar itu.
“Tanpa sokongan dan bantuan baginda, saya mungkin tidak akan bermain bola sepak lagi. Jadi, saya akan sentiasa menghargai sokongan baginda sepanjang tahun lalu,” ujarnya.
Hong Wan kembali membuat penampilan bersama JDT apabila turun sebagai pemain gantian ketika aksi menentang Imigresen FC pada 28 Ogos lalu.
Beliau kemudiannya dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya sebagai pengganti rakan sepasukan, Hector Hevel. Hevel terpaksa menarik diri akibat masalah kecederaan.