Bintang Tottenham Hotspur, Djed Spence berpeluang mencipta sejarah sekiranya diturunkan England dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Andorra pada 7 September.
Ini kerana beliau akan menjadi pemain Muslim pertama mewakili England di peringkat antarabangsa. Spence antara dua muka baharu yang dipanggil jurulatih Jerman, Thomas Tuchel.
Bekas pemain Middlesbrough itu mengakui terkejut apabila menerima panggilan menyertai skuad The Three Lions.
“Ia satu rahmat – ia sesuatu yang menakjubkan. Saya sebenarnya tak terkata apa-apa (bila mendapat panggilan menyertai skuad England),” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.
“Saya banyak beribadat, saya banyak bersyukur kepada Tuhan. Dalam banyak detik sukar dan gelap dalam hidup saya, saya percaya Tuhan sentiasa bersama saya. Kepercayaan saya merupakan perkara penting bagi saya.”
Spence turut berharap kisah beliau dapat menjadi inspirasi kepada pemain lain terutama pemain yang beragama Islam.
“Saya tak merasa tertekan untuk sesetengah perkara. Saya hanya bermain bola sepak dengan senyuman pada wajah saya, bersikap gembira dan selebihnya akan menjaga diri anda.
“Jika saya boleh lakukan, anda juga boleh lakukan. Bukan saja kanak-kanak Muslim tetapi juga kanak-kanak beragama lain. Fokuskan minda anda pada sesuatu dan anda boleh lakukannya,” ujarnya.
Spence terpilih dalam skuad Tuchel selepas mempamerkan aksi konsisten dalam tiga aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Spurs.
Selain beliau, Tuchel turut memanggil pemain tengah AC Milan, Ruben Loftus-Cheek. Sekiranya diturunkan dalam aksi menentang Andorra, beliau berpeluang meraih penampilan buat kali pertama sejak tahun 2018.