Qatar membuka kempen kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) dengan garang apabila membelasah Brunei 13-0.
Qatar memburu kemenangan agar dapat menyaingi dua lagi pasukan dalam Kumpulan H, Bahrain dan India.
Anak buah Ilidio Vale pantas meraih jaringan pembukaan menerusi Mostafa El Sayed pada minit keempat. Dua minit kemudian, Jassem Al-Sharshani menggandakan kelebihan pasukan Asia Barat itu.
Mubarak Shanan Hamza menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-11. Hashmi Al-Hussain dan Mostafa masing-masing menyumbat gol pada minit ke-20 dan 23.
Brunei makin derita apabila dibolosi buat kali ketujuh menerusi Abdulaziz Muhammed pada minit ke-35. Keputusan 7-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Qatar semakin ghairah memburu gol tambahan ke atas lawan mereka itu.
Mostafa mencipta hatrik pada minit ke-54. Ini disusuli gol Noureldan Tamir dua minit selepas itu.
Mostafa terus menjadi duri dalam daging kepada Brunei dengan menyumbat gol keempat peribadinya pada minit ke-58. Marawan Brimil menambah dua lagi gol pada minit ke-70 dan 83.
Tamir melengkapkan malam gemilang Qatar dengan gol ke-13 pada minit akhir babak kedua. Keputusan 13-0 kekal hingga tamat perlawanan.
Kelebihan gol besar membolehkan Qatar menerajui Kumpulan H mengatasi India. India berada di tempat kedua selepas menewaskan Bahrain.
Qatar bukan satu-satunya pasukan yang berpesta gol dua angka dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia B-23 2026. Jordan, Australia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut mencatat keputusan sama dalam aksi pertama Kumpulan A, D dan I.