Kelab LaLiga, Villarreal mencetuskan kemarahan penyokong mereka apabila mendapatkan seorang pemain Israel dari kelab Tottenham Hotspur.
Manor Solomon meninggalkan kelab utara London itu dan menyertai The Yellow Submarine secara pinjaman sehingga akhir musim 2025/26. Perpindahan itu disahkan Villarreal menerusi satu kenyataan.
“Villarreal CF dan Tottenham Hotspur sudah mencapai persetujuan untuk perpindahan pinjaman Manor Solomon yang akan beraksi untuk The Yellows semasa musim 2025/26,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebaik perpindahan itu disahkan, tindakan pengurusan kelab dikecam penyokong Villarreal. Ini kerana Solomon bukan sekali menyokong tindakan ketenteraan Israel.
Selepas konflik Israel-Palestin kembali tercetus pada Oktober 2023, tindakan tidak berperikemanusiaan rejim terutama di Semenanjung Gaza mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Malah, tindak-tanduk rejim itu di Gaza turut menyebabkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap kepada Perdana Menteri rejim, Benjamin Netanyahu.
Seorang penyokong bernama Grocquet menganggap Villarreal sudah kehilangan kompas moral mereka dari segi tadbir urus kelab.
“Lihat semua yang mereka katakan tentang kita, Villarreal CF? Dan ia memiliki sebab kukuh,” katanya di X.
“Tahniah, inilah apa yang anda telah capai. Ini yang berlaku apabila nilai moral tidak wujud atau dibuat daripada kadbod. Anda mesti gembira.”
Seorang lagi peminat bernama I_6om pula menyifatkan perpindahan Solomon sebagai sesuatu yang memalukan buat The Yellow Submarines.
“Saya sentiasa mengagumi usaha dan bola sepak Villarreal tetapi bukan hari ini. Perpindahan ini sesuatu yang memalukan dan memberi kesan kepada identiti kelab dan moral. Bebas Palestin,” katanya.
Ini bukan kali pertama Villarreal mencetuskan kemarahan penyokong membabitkan perpindahan pemain kontroversi. Sebelum ini, kelab juga dikecam kerana membawa masuk Thomas Partey.
Bekas bintang Arsenal itu kini berdepan perbicaraan lima kes rogol dan satu kes serangan seksual di mahkamah di London.