Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Amateur Football League (AFL).
Pengumuman ini dibuat oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-4 Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu pada Khamis.
“Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram pula dilantik sebagai Pengerusi Amateur Football League (AFL) untuk menggantikan tempat Datuk Mohd Yusoff,” umum badan induk itu
“Selain beliau kini menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan beserta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur.”
Dalam pada itu, FAM turut mengumumkan penstrukturan semula membabitkan jawatan pengerusi dalam beberapa Jawatankuasa Tetap badan induk bola sepak negara itu.
Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi kini menggalas tugas dalam 3 portfolio baharu selaku Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Darurat.
Manakala Naib Presiden FAM, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan serta seorang lagi Naib Presiden, Datuk Saaran Nadarajah kini menggalas tugas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil.
Naib Presiden FAM, Dato’ Dollah Salleh dan Exco FAM, Dato’ Zainal Abidin Hassan pula diberikan peranan bagi memantau Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan juga Akademi Mokhtar Dahari (AMD).