“Mongolia Bukan Lawan Mudah Buat Malaysia B-23” – Nafuzi Zain
MakanBola
Malaysia NT

Jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain tidak menganggap aksi menentang Mongolia nanti sebagai perlawanan yang mudah menjelang pertemuan pada Sabtu.

Skuad muda negara membuka kempen Kelayakan Piala Asia B-23 dengan langkah kiri tempoh hari apabila tunduk 0-1 di tangan Lubnan menerusi gol lewat oleh tonggak tengah, Ali El Fadl.

Nasib serupa turut dialami oleh Mongolia yang kalah kepada tuan rumah pusingan kelayakan, Thailand dengan keputusan 6-0 dan meletakkan skuad Arthur Feirrera di tangga tercorot.

Sungguhpun begitu, Nafuzi Zain enggan memandang mudah cabaran yang akan dihadapi skuad muda Malaysia ini dengan beliau melihat Mongolia sebuah pasukan yang miliki kualiti tersendiri.

“Saya tengok Mongolia dari segi pasukan bukan senang juga untuk kita menang.”

“Dari segi pemain, Mongolia memiliki fizikal yang baik. Dari segi kelajuan dan kekuatan pasukan itu memang ada,” kata Nafuzi Zain pada Jumaat.

Kekalahan besar Mongolia B-23 tempoh hari bukan jaminan aksi yang mudah buat skuad Malaysia oleh kerana Thailand sememangnya sebuah pasukan yang miliki corak permainan lebih baik.

“Lagipun apa yang saya nampak, Thailand bermain dengan begitu baik malam itu,” tambah beliau.

“Jadi apapun, bukan satu perlawanan yang mudah. Kita perlu fokus dan perlu bersedia untuk menewaskan Mongolia nanti.”

Pertemuan antara Malaysia B-23 vs Mongolia akan diadakan pada Sabtu, 6 September ini di Stadium Thammasat dengan sepak mula tepat jam 5 petang waktu tanah air.