Facundo Garces Jawab Khabar Angin Ke Kelab EPL
MakanBola
Malaysia NT

Bek tengah Harimau Malaya, Facundo Garces menafikan khabar angin bahawa khidmatnya diintai sebuah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Hal ini dinyatakan beliau kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam apabila ditanya tentang khabar angin tersebut.

Sebelum ini, Cadena SER melaporkan Garces dikatakan telah menarik minat sebuah kelab EPL pada hari terakhir tetingkap perpindahan musim panas 2025/26.

Malah, kelab EPL itu dilaporkan bersedia membayar €10 juta (RM49 juta) kepada Alaves untuk mendapatkan khidmatnya.

Walau bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak pengurusan Alaves. Antara alasan kelab LaLiga itu ialah mereka akan berdepan kesuntukan masa mencari pengganti Garces sekiranya menerima tawaran tersebut.

Apabila ditanya tentang perkara tersebut, Garces memaklumkan beliau langsung tidak tahu tentang perkara tersebut.

Seandainya ada minat dari kelab EPL seperti yang dinyatakan, maka beliau sudah pasti akan mengetahuinya daripada ejen beliau.

“Sejujurnya, saya tidak tahu. Saya tidak tahu apa-apa kerana ejen saya tidak beritahu saya apa-apa dan fokus saya kini 100% hanya kepada Alaves dan keluarga saya.

“Saya akan pulang semula untuk bertemu mereka dan terus membuat persiapan menghadapi musim yang sangat panjang,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Garces merekodkan penampilan kedua bersama skuad kebangsaan dalam aksi menentang Singapura. Meskipun begitu, khidmatnya tiada untuk aksi menentang Palestin pada 8 September.

Ini kerana Garces telah bertolak pulang ke Sepanyol untuk membantu persiapan Alaves untuk aksi LaLiga menentang Athletic Bilbao. Turut sama tiada untuk aksi menentang Palestin ialah Dion Cools.

Kapten Harimau Malaya itu kembali menyertai kelab Jepun, Cerezo Osaka untuk aksi J-League menentang Avispa Fukuoka.