Nama bekas kapten Burnley, Josh Brownhill kembali menjadi sebutan baru-baru ini.
BBC Sport melaporkan pemain tengah berusia 29 tahun itu akan berkelana ke Asia dengan menerima tawaran kelab Arab Saudi, Al-Shabab.
Selepas meninggalkan The Clarets, Brownhill dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab baik berstatus Liga Perdana Inggeris (EPL) atau Liga Kejohanan.
Antara kelab yang dilaporkan berminat ialah West Ham United, Leicester City, Wolverhampton Wanderers dan Brentford.
Meskipun begitu, Brownhill memilih menjadi tonggak import terbaru yang mewarnai saingan Saudi Pro League (SPL). Ini kerana beliau cukup tertarik dengan projek yang ditawarkan Al-Shabab.
Al-Shabab kini dibimbing bekas jurulatih Real Sociedad, Imanol Alguacil. Sekiranya perpindahan Brownhill menjadi kenyataan, beliau menjadi pemain import kelima Al-Shabab.
Selain beliau, Yannick Carrasco, Wesley Hoedt, Vincent Sierro, Carlos Junior dan Abderrazak Hamdallah turut memilih mewakili kelab berkenaan.
Nama Brownhill sebelum ini menjadi tumpuan peminat Malaysia kerana dikatakan memiliki darah warisan negara.
Walau bagaimanapun, bekas pemain remaja Manchester United itu menafikan hal tersebut apabila ditanya oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.