Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim menjelang aksi menentang Palestin.
Keputusan menyisihkan pemain sayap Selangor FC itu dibuat pengendali skuad negara, Peter Cklamovski. Keputusan itu dibuat beliau dengan mengambil kira beberapa faktor.
Salah satu faktor yang mempengaruhi keputusan Cklamovski ialah kecederaan kecil yang dialami Faisal di bahagian lutut.
“Kami telah memutuskan bahawa Mickey (nama gelaran Faisal) tidak akan bersama pasukan (untuk aksi menentang Palestin). Jelas sekali persediaan beliau sangat baik sekali,” katanya.
“Komitmennya terhadap pasukan amat baik sekali dan sudah tentu terdapat situasi peribadi dalam kehidupannya ketika ini, yang kami hormati.
“Beliau juga mengalami sedikit masalah kecil pada bahagian lutut, di mana itu tidak akan menjejaskan (permainan) bola sepaknya. Tetapi berdasarkan semua keadaan, ia adalah keputusan betul untuk beliau tidak mengikuti pasukan.”
Selain Faisal, Malaysia juga terpaksa melupakan khidmat dua orang besi, Facundo Garces dan Dion Cools. Ini selepas kedua-dua pemain kembali bersama pasukan masing-masing di Sepanyol dan Jepun.
Meskipun tidak terpilih untuk aksi menentang Palestin, Cklamovski berharap Faisal dapat kembali fokus dan memberi persembahan terbaik.
Ini diharap dapat membantunya terpilih untuk kem Harimau Malaya seterusnya pada Oktober ini. Ini kerana pada ketika itu, skuad negara mengharungi dua aksi kelayakan Piala Asia 2027.
“Beliau perlu mempersiapkan diri dan fokus untuk beberapa minggu seterusnya di dalam dan luar padang untuknya. Saya yakin persiapan beliau akan berterusan dan tidak terjejas,” ujarnya.
“Beliau seorang yang profesional dan seperti yang saya katakan beberapa hari lalu, jadi inspirasi kepada negara.
“Saya yakin beliau akan terus melakukannya dan sebagai skuad kebangsaan, kita akan menyokong beliau sepenuhnya. Kita akan terus melakukannya.”
Faisal meraih penampilan terbarunya sebagai pemain gantian ketika aksi menentang Singapura baru-baru ini.