Pertukaran posisi bukan sesuatu yang asing buat pemain tengah kebangsaan, Stuart Wilkin.
Aksi menentang Singapura pada 4 September lalu menyaksikan Peter Cklamovski membuat kejutan dengan menurunkan Stuart di bahagian bek kanan sayap.
Pemain tengah Sabah FC itu dilihat tidak berdepan masalah mengisi posisi tersebut. Malah, Stuart turut mempamerkan impak dengan menghasilkan satu gol dan mencipta satu bantuan gol.
Apabila ditanya tentang perubahan posisi dari bahagian tengah ke bahagian sayap, pemain tengah berusia 27 tahun itu menyifatkan ia bukan satu isu buat beliau.
Ini kerana Stuart pernah mengisi posisi sayap atau nombor 10 sekiranya perlu semasa beraksi di peringkat remaja.
“Semasa saya masih muda, saya beraksi sebagai pemain sayap atau nombor 10. Saya biasa bermain di tepi bila saya beraksi di peringkat remaja.
“Tapi anda semua tahu saya beraksi dalam Liga Super sebagai pemain tengah box-to-box. Jadi, ini sesuatu yang baru beraksi di bahagian tepi dan saya terbuka mempelajari benda baru,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Gol menentang Singapura merupakan gol ketiga beliau ke atas pasukan seberang Tambak Johor itu.
Stuart berharap khidmatnya akan terus ditagih Cklamovski menjelang aksi menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 September ini.