Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjangkakan akan berlaku perubahan pemain menjelang aksi menentang Palestin pada Isnin.
Pasukan kebangsaan tampil cemerlang baru-baru ini apabila berhasil menumbangkan negara jiran, Singapura 2-1 di Bukit Jalil dengan Stuart Wilkin dan Joao Figueiredo muncul selaku penjaring.
Kini, fokus skuad senior negara tertumpu kepada perlawanan pemanas badan kedua berdepan Palestin di Johor dalam misi untuk menambah baik pasukan menjelang aksi penting pada bulan Oktober.
Menurut Peter Cklamovski, terdapat perubahan bakal dibuat dalam kesebelasan utama pasukan untuk aksi menentang Palestin ini yang dilihat sebagai satu penggiliran buat pemain negara.
”Ya, sudah tentu. Saya rasa akan ada beberapa perubahan.
Sedikit penggiliran dan kita akan lihat,” ujar Peter Cklamovski pada sesi sidang media.
Sebarang pertukaran bakal dinilai terlebih dahulu oleh Peter Cklamovski ketika sesi latihan terakhir malam ini dan beliau harap sesiapa pun yang dipilih dapat mempamer permainan sebenar pasukan.
“Kita masih ada satu lagi sesi latihan untuk dilalui yang mana sangat penting dan siapa pun yang bermain, saya berpegang kepada falsafah ini,” tambah beliau.
“Tidak kira siapa yang turun, yang penting kita bermain bola sepak kita sendiri. Kita fokus pada apa yang penting untuk kita sebagai satu pasukan.”
“Kita berpeluang mencabar diri menentang lawan yang kuat. Jadi siapa pun yang beraksi, mereka akan meraih peluang untuk memakai jersi sekali lagi dan mengharumkan nama negara.”
Ketika ini, skuad Harimau Malaya bakal turun menentang Palestin tanpa kudrat 3 pemain tonggak iaitu Dion Cools, Facundo Garces dan Faisal Halim yang tidak turut serta ke Johor ini.
Aksi Malaysia vs Palestin bakal berlangsung pada Isnin, 8 September di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula perlawanan tepat jam 9 malam.