Serangan Penyokong Indonesia Kepada Malaysia Rugikan Bola Sepak ASEAN
MakanBola
Timnas Indonesia

Hubungan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia kembali tercalar apabila segelintir penyokong melancarkan serangan di media sosial terhadap Malaysia.

Apa yang sepatutnya hanya menjadi persaingan sihat di atas padang, kini telah bertukar menjadi medan kebencian di alam maya melibatkan sesetengah pihak yang termakan dengan provokasi melampau.

Lebih membimbangkan, serangan tersebut tidak berhenti setakat provokasi biasa. la turut disertai penyebaran berita palsu yang mendakwa Malaysia mendapat campur tangan daripada FIFA. Naratif ini hanya menambah api kebencian, sekaligus mencipta persepsi negatif terhadap Malaysia.

Situasi ini menimbulkan persoalan besar. Mengapa serangar yang berlaku kelihatan seperti dirancang rapi, dengan naratif
sama diulang di pelbagai platform? Adakah wujud tangan-tangan tertentu yang mahu memastikan permusuhan ini berterusan demi kepentingan tersendiri?

Dalam masa sama, peranan Presiden PSSI, Erick Thohir, turut menjadi perhatian. Dengan pengaruh besar yang beliau miliki, tindak balasnya setakat ini dilihat belum cukup ampuh untuk meredakan ketegangan dan menenangkan penyokong.

Apa yang ironinya, hubungan antara para pemain kedua-dua pasukan di atas padang sebenarnya baik dan penuh rasa hormat. Permusuhan ini lebih banyak dipacu oleh penyokong yang terperangkap dengan provokasi dan propaganda di media sosial.

Jika dibiarkan berlarutan, konflik seperti ini hanya akan merugikan bola sepak serantau. Malaysia dan Indonesia adalah dua kuasa besar ASEAN dan setiap pertemuan sepatutnya diraikan sebagai pesta bola sepak, bukannya dicemari permusuhan yang tidak berkesudahan.

Lebih serius, insiden sebegini berpotensi menarik perhatian FIFA dan AFC. Sekiranya badan bola sepak dunia merasakan isu ini memberi kesan kepada integriti pertandingan, tidak mustahil tindakan tegas boleh dikenakan terhadap kedua-dua pihak.

Hakikatnya, bola sepak Asia Tenggara tidak akan maju selagi dibayangi kebencian dan provokasi melampau. Yang rugi bukan sahaja Malaysia, tetapi juga Indonesia sendiri, kerana nilai sukan sebagai jambatan persahabatan hancur akibat emosi yang tidak terkawal.