Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) berkongsi status terkini tentang keadaan penjaga gol mereka, Shafiq Afifi Suhaimi.
Semasa beraksi ketika menentang Seoul Phoenix baru-baru ini, Shafiq berlaga dengan tiang ketika menepis percubaan deras pihak lawan pada minit ke-63.
Bekas penjaga gol Penang FC itu cuba meneruskan permainan tetapi beliau kemudiannya rebah tujuh minit selepas itu.
Susulan itu, pengendali Kelantan RW, Irfan Bakti Abu Salim memasukkan Amin Faisal Mohd Saidi sebagai pengganti Shafiq.
Susulan itu, Shafiq dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Kelantan RW kemudiannya memaklumkan bahawa penjaga gol berusia 26 tahun itu tidak mengalami kecederaan serius.
“Dari makluman pihak hospital, keadaan Shafiq tidak membimbangkan. Kami mendoakan semoga penjaga gol ini segera sembuh dan kembali menyertai pasukan tidak lama lagi,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Ramai penyokong mendoakan agar Shafiq segera pulih dan kembali beraksi di atas padang. Aksi membabitkan Seoul Phoenix dan Kelantan RW berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.