DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan meraikan skuad kebangsaan Palestin.
Ini selepas baginda berangkat ke Masjid Sultan Abu Bakar untuk solat Maghrib dan solat hajat berjemaah bersama skuad Harimau Malaya dan Palestin.
Tunku Ismail turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi dan derma kerajaan negeri Johor berjumlah RM2.5 juta kepada Palestin.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali. Tunku Ismail turut berkesempatan bergambar bersama skuad kebangsaan negara itu.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat menunaikan solat Maghrib serta solat hajat berjemaah bersama pasukan bola sepak Harimau Malaya dan pasukan bola sepak kebangsaan Palestin di Masjid Sultan Abu Bakar pada hari ini, 7 September 2025.
“Baginda turut menyampaikan sumbangan kurniaan peribadi dan juga dari Kerajaan Negeri Johor melalui Tabung Kasih Johor-Palestin untuk disalurkan bagi keperluan kemanusiaan dan pembangunan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Malaysia dijadual bertemu Palestin untuk aksi persahabatan kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 September ini.