Reputasi pengadil Malaysia, Nazmi Nasaruddin terus dikenali apabila berjaya mengawal aksi panas final Thai King’s Cup antara Thailand dan Iraq.
Kedua-dua pasukan layak ke final selepas mengalahkan lawan masing-masing. Thailand menewaskan Fiji 3-0 dengan Iraq pula mengatasi cabaran Hong Kong.
Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, aksi membabitkan kedua-dua pasukan makin panas. Ini kerana kedua-dua pasukan melakukan terjahan keras untuk mendapatkan bola.
Situasi ini mendorong Nazmi melayangkan kad kuning kepada Kevin Yacob, Teerasak Poeiphimai, Peeradol Chamrasamee dan Frans Putros.
Putros kemudiannya bernasib malang apabila dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil Malaysia itu pada minit ke-69.
Iraq kemudiannya meraih gol kemenangan pada minit ke-75 menerusi Mohanad Ali. Penyerang Dibba Al-Fujairah itu kemudiannya mencetuskan kontroversi pada minit akhir perlawanan.
Ini selepas Nazmi mengesan terjahan keras yang dibuat Ali ke atas pemain tengah Thailand, Chanathip Songkrasin. Insiden ini mencetuskan kemarahan pemain-pemain Gajah Perang.
Terjahan itu sudah cukup buat Nazmi melayangkan kad merah kepada Ali pada minit ke-94. Iraq kemudiannya menamatkan perlawanan dengan sembilan orang pemain.
Ini bukan kali pertama Nazmi diberi kepercayaan sebagai pengadil aksi antarabangsa. Sebelum ini, beliau pernah diberi kepercayaan sebagai pengadil untuk aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Piala Asia dan kelayakan Piala Dunia Zon Asia.