Pengendali skuad Malaysia B-23, Nafuzi Zain sudah bersedia dengan pelan terbaik untuk hadapi situasi luar jangka tatkala menentang Thailand pada Selasa.
Aksi terakhir peringkat kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 bakal menemukan antara Malaysia dan Thailand dengan tuan rumah ini miliki kelebihan satu mata berbanding skuad muda negara.
Pertemuan ini bakal menjadi penentu nasib pasukan muda negara selepas tumbang di tangan Lubnan pada Rabu lalu sebelum merekodkan kemenangan besar 7-0 menewaskan Mongolia.
Walau bagaimanapun, perlawanan di Stadium Thammasat ini dijangka akan dibasahi hujan lebat ketika mana cuaca di kota Bangkok tidak menentu dengan taburan hujan hampir setiap hari.
Nafuzi Zain yang sedar dengan situasi luar jangka seperti ini mahu para pemain untuk kekal bersedia sekiranya terpaksa beraksi di dalam hujan dan di atas padang yang basah serta bertakung.
”Kita tahu sekarang ini 2-3 hari (cuaca) hujan lebat, jadi kita kena bersedialah bermain dalam keadaan hujan,” ujar Nafuzi Zain ketika ditemui pada Isnin di hotel pasukan.
Tambah beliau lagi, pendekatan yang sesuai bakal diterapkan kepada para pemain Malaysia B-23 agar pasukan dapat kekal beraksi dalam keadaan cuaca yang tidak dapat dijangka ini di venue.
“Kita tahu dalam keadaan hujan ini, bukan kita tak boleh main seperti biasa tetapi kita mungkin melihat cara yang sesuai untuk bermain dalam keadaan ini (hujan dan padang basah),” tambah beliau.
Aksi Thailand vs Malaysia akan berlangsung pada Selasa di Stadium Thammasat dengan sepak mula perlawanan tepat jam 8:30 malam waktu Malaysia