Malaysia Tewaskan Palestin
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia meraih kemenangan keempat dalam era Peter Cklamovski dengan menewaskan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Harimau Malaya berharap dapat meraih kemenangan ke atas Singa Kanaan buat kali pertama sejak Mac 2001. Palestin pula berharap dapat melebarkan rekod baik ke atas skuad negara sejak 2015.

Rodrigo Holgado diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan Malaysia. Penjaga gol Al-Markhiya, Rami Hamadeh pula membuat penampilan ke-59 di pentas antarabangsa.

Skuad negara ceria apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Joao Figueiredo. Beliau membuat tolakan mudah melepasi Rami.

Menariknya, Figueiredo turut mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia pertama menjaringkan gol ke atas Palestin dalam tempoh 24 tahun.

Tersentak, Palestin cuba bangkit memburu gol penyamaan. Peluang tersebut hadir pada minit ke-26 menerusi penyerang Petrojet, Bader Mousa.

Bader menguji penjaga gol Harimau Malaya, Syihan Hazmi Mohamed menerusi percubaan jarak dekat. Walau bagaimanapun, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu pantas menafikan percubaannya.

Beberapa minit selepas itu, Hamadeh bertindak cemerlang menafikan percubaan Gabriel Palmero. Ini selepas pemain Unionistas de Salamanca berusaha menyudahkan hantaran Quentin Cheng.

Palestin terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Cklamovski membuat satu pertukaran dengan memasukkan Corbin Ong menggantikan Dominic Tan.

Pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi hampir menggandakan kelebihan Harimau Malaya pada minit ke-50. Malangnya, percubaan deras beliau dinafikan Rami.

Penyerang Columbus Crew, Wessam Abou Ali hampir menyamakan kedudukan buat Palestin. Walau bagaimanapun, percubaannya berjaya dinafikan Syihan.

Pemain Raith Rovers, Richard Chin merealisasikan impiannya mewakili skuad negara. Dia masuk menggantikan Quentin pada minit ke-80.

Palestin terus berusaha memberi tekanan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini menyaksikan Malaysia terus kekal tanpa kalah di bawah bimbingan Cklamovski kepada lima perlawanan.

Kemenangan ini dijangka melonjakkan ranking Malaysia ke kedudukan ke-120 terbaik dunia. Ini juga dijangka menyuntik keyakinan Harimau Malaya menghadapi kelayakan Piala Asia 2027 yang bersambung pada Oktober ini.