Joao Figueiredo Lakar Dua Rekod Penting Bola Sepak Malaysia
MakanBola
Malaysia NT

Penyerang sensasi kebangsaan, Joao Figueiredo, melakar dua rekod penting apabila membuka tirai jaringan di Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi persahabatan Tier 1 menentang Palestin.

Gol pertama Harimau Malaya itu hadir seawal minit ketiga perlawanan apabila pemain berusia 29 tahun itu menyempurnakan hantaran kemas daripada Quentin Cheng.

Lebih manis, jaringan tersebut dianggap bersejarah apabila Figueiredo menjadi penyumbang gol pertama Malaysia menentang Palestin selepas 24 tahun. Kali terakhir Malaysia berjaya menembusi gawang Palestin adalah pada tahun 2001, ketika meraih kemenangan 4-3.

Dalam lima pertemuan sebelum ini, Malaysia hanya sekali menewaskan Palestin iaitu pada Kelayakan Piala Dunia 2002 apabila meraih kemenangan 4-3 pada 25 Mac 2001. Selebihnya, empat perlawanan berakhir dengan kekalahan, termasuk dua kekalahan besar 0-6 dan 0-6 kepada Palestin dalam Kelayakan Piala Dunia 2018, tewas 0-2 pada aksi persahabatan 2013, serta tunduk 0-1 dalam pertemuan Kelayakan Piala Dunia 2002.

Untuk rekod, sejak menyarung jersi Harimau Malaya, Joao Figueiredo telah meledak tiga gol iaitu ketika menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027, selain aksi persahabatan menentang Singapura baru-baru ini dan Palestin hari ini.

Menerusi catatan Harimau Malaya Stats, Joao Figueiredo menjadi pemain ketiga yang berjaya menjaringkan gol berturut-turut dari penampilan pertama hingga penampilan ketiga. Rekod ini kali terakhir dicatat oleh Nizaruddin Yusof pada 1999-2000, manakala Mokhtar Dahari merupakan pemain pertama yang melakukannya pada tahun 1972.

Ini merupakan aksi persahabatan kedua buat skuad kendalian Peter Cklamovski, selepas menewaskan Singapura 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Dua perlawanan ini menjadi medan persiapan terbaik sebelum Malaysia mengharungi saingan Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.