Malaysia terpaksa akur terlepas tempat ke saingan Piala Asia B-23 2026 selepas tewas kepada Thailand pada Selasa.
Aksi Malaysia vs Thailand ini menjadi perhatian para peminat ketika mana kedua-dua negara jiran tetangga ini memerlukan 3 mata untuk layak ke Piala Asia B-23 selaku wakil kumpulan F.
Nafuzi Zain selaku ketua jurulatih Malaysia B-23 menurunkan barisan utama dengan Fergus Tierney menjadi sandaran bagi mencari jaringan manakala Seksan Ratree mengetuai pemain Thailand.
Pasukan muda negara terlebih dahulu menguji pintu gawang Thailand dengan rembatan deras kaki kiri oleh pemain sayap, Aliff Izwan namun percubaan tersebut hanya singgah di tepi jaring
Kakana Khamyok berjaya meletakkan Thailand di depan hasil satu gerakan cantik yang diatur dan disudahkan oleh bintang Muangthong United itu tanpa dikawal pemain Malaysia pada minit ke-33.
Sebelum rehat, Malaysia B-23 cemerlang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-40 menerusi satu voli oleh Aysar Hadi berpunca dari sepakan penjuru yang menembusi pintu gawang lawan.
Separuh masa pertama tamat, Thailand 1-1 Malaysia.
Bersambung babak kedua, kedua-dua negara tampak buntu dalam mencari jaringan tambahan ketika mana Thailand lebih selesa menguasai permainan dengan penguasaan bola dari bawah.
Ketangkasan penjaga gawang negara, Zulhilmi Saarani wajar diberi pujian dalam menepis dan menghalang setiap asakan pasukan Thailand terutamanya rembatan kencang Yotsakorn Burapha.
Kakana Khamyok sekali lagi menjadi wira Thailand dengan gol kemenangan pada masa tambahan.
Aksi di Stadium Thammasat berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Thailand B-23.
Keputusan ini meletakkan Malaysia B-23 di tangga ke-3 kumpulan F dengan 3 mata manakala Thailand di tempat pertama dengan 7 mata.