Kelayakan Piala Asia B-23: Korea Selatan Ranapkan Impian Indonesia
MakanBola
TIMNAS INDONESIA

Indonesia tumpas di tangan skuad muda Korea Selatan dengan keputusan 1-0 bagi aksi kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Gelora Delta pada Selasa.

Skuad Korea Selatan membariskan Moon Hyunho di posisi penjaga gol dan Lee Seungwon menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan.

Sementara itu, pasukan muda Garuda menurunkan Cahya Supriadi di benteng terakhir dan Rafael Struick mengemudi jentera serangan manakala Kadek Arel sebagai kapten skuad Indonesia.

Korea Selatan tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan apabila Hwang Do Yoon berjaya menjaringkan gol pada minit ke 7 bagi memastikan skuad tersebut berada di hadapan.

Indonesia yang tersentak dengan jaringan tersebut terus melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang pasukan Korea Selatan namun pertahanan skuad tersebut sangat disiplin menahan serangan Indonesia.

Indonesia turut melepaskan beberapa percubaan berbahaya bagi menceriakan ribuan penyokong sendiri namun gagal menembusi gawang skuad Korea Selatan.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan Korea Selatan.

Bersambung babak kedua, skuad Garuda mengeluarkan 3 pemain iaitu Mikael Tata, Rafael Struick dan Zanadin Fariz manakala memasukkan Jens Raven, Kakang dan Robi Darwis bagi menambah bisa serangan.

Selain itu, Indonesia terus meningkatkan intensiti permainan bagi memperoleh gol pertama skuad tersebut bagi mengikat kedudukan.

Pasukan Korea Selatan tampak semakin berdisiplin bagi menjaga jaringan awal skuad tersebut dan memastikan memperoleh kemenangan dalam aksi kelayakan ini.

Memasuki minit ke 80′ perlawanan Korea Selatan masih mendahului perlawanan dengan satu gol di hadapan meskipun skuad Indonesia melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu Korea Selatan.

Perlawanan tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan kebangsaan Korea Selatan bagi aksi kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Gelora Delta.