Malaysia terlepas peluang untuk mara ke Piala Asia B-23 setelah tersingkir di peringkat kelayakan di Thailand.
Anak didik Nafuzi Zain ini memulakan kempen di Bangkok, Thailand ini dengan langkah kiri apabila tumpas di tangan Lubnan 0-1 menerusi jaringan Ali El Fadl di penghujung aksi.
Kekalahan tipis itu bagaimanapun berjaya ditebus dengan kemenangan besar 7-0 mengatasi pasukan Mongolia dan keputusan ini tampak memberi sinar harapan buat Malaysia B-23.
Hatrik Fergus Tierney, dua gol oleh Aliff Izwan dan masing-masing satu jaringan daripada bek tengah, Aysar Hadi serta Ziad El Basheer memberikan 3 mata pertama untuk negara.
Pada perlawanan terakhir menentang tuan rumah, Thailand pada Selasa, pasukan Malaysia B-23 terpaksa akur apabila tumpas dengan keputusan 1-2 hasil gol lewat di penghujung aksi.
Kakana Khamyok menjaringkan dua gol pada aksi tersebut di minit ke-33 dan 90 meskipun Harimau Muda berjaya bangkit dengan jaringan penyamaan sebelum babak pertama tamat.
Hasil daripada 3 keputusan ini, Malaysia menamatkan aksi di pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 ini dengan mengumpul 3 mata menerusi satu kemenangan dan juga satu kekalahan.
Thailand mengesahkan tempat ke Piala Asia B-23 2026 di Arab Saudi apabila bergelar juara kumpulan F hasil 7 mata yang dikutip bersama Lubnan yang berada di tempat kedua.
Mongolia B-23 pula mengakhiri kempen di Bangkok ini tanpa sebarang mata apabila tumpas kesemua 3 perlawanan ketika mana dibolosi 16 jaringan dan gagal untuk menjaringkan gol.