Norway terus menunjukkan prestasi ampuh dengan membelasah Andorra 11-1 dalam aksi terbaru kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Eropah.
Norway selaku pilihan utama mahu terus mengekalkan rekod kemenangan 100% dalam Kumpulan I. Andorra pula berharap dapat mengekang tuan rumah daripada berpesta gol.
Felix Horn Myhre membuka tirai jaringan buat pasukan Scandinavia itu seawal minit keenam. Penyerang berbisa Manchester City, Erling Haaland mencipta hatrik menerusi gol pada minit ke-11, 36 dan 43.
Kapten Arsenal, Martin Odegaard memastikan Norway mendahului 5-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-46.
Bersambung pada babak kedua, Norway yang dibimbing Stale Solbakken semakin ghairah memburu jaringan tambahan.
Haaland merobek gawang Andorra yang dikawal Cristian Avram buat kali keempat pada minit ke-52.
Penyerang baru Rangers, Thelo Aasgaard kemudiannya mencipta hatrik menerusi gol pada minit ke-67, 76 dan penalti minit ke-79.
Andorra mencuri gol saguhati menerusi gol sendiri bek tengah Genoa, Leo Ostigard pada minit ke-74.
Haaland menyumbat gol ke-10 pada minit ke-83. Ini disusuli gol keempat Aasgaard pada minit akhir permainan bagi menjadikan kedudukan 11-1.
Keputusan ini menyaksikan Norway terus mengetuai Kumpulan I dengan 15 mata, enam mata di hadapan Itali dan Israel. Sofascore memilih Haaland sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 10.
Sentuhan berbisa penyerang The Citizens juga dilihat amaran buat Manchester United. Ini kerana kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hujung minggu ini.
Selepas ini, Norway akan menentang Israel pada 12 Oktober. Andorra pula bersiap sedia menentang Latvia pada 11 Oktober.