Australia Destinasi Baharu Juan Muniz?
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Muniz dilaporkan akan berhijrah ke bumi Australia.

Sebelum ini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan Muniz memberi bayangan akan meninggalkan JDT secara pinjaman.

Ini susulan persaingan sengit merebut slot kesebelasan utama dalam skuad Harimau Selatan. Malah, nombor jersinya iaitu nombor 20 kini digunakan oleh Teto Martin.

Kini, 7News Adelaide melaporkan Muniz bakal melengkapkan perpindahan ke kelab A-League, Adelaide United.

Sekiranya perpindahan itu dimuktamadkan, bekas pemain Sporting Gijon itu mengikut jejak ramai pemain Sepanyol yang beraksi dalam saingan A-League.

Antara bintang Sepanyol yang pernah mewarnai liga tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia. Legenda Liverpool itu pernah beraksi untuk Central Coast Mariners (CCM).

Muniz dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri bersama Adelaide. Ini kerana seorang lagi bekas pemain JDT, Anselmo Moraes turut bersama pasukan itu.

Anselmo menyertai kelab A-League itu selepas meninggalkan Harimau Selatan pada akhir musim 2024/25.